Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyeludupan pekerja migran Indonesia di pantai Riau disyaki berleluasa

    JAKARTA, 4 FEB – Empat kawasan pantai di wilayah Riau, Indonesia, dikenal pasti sebagai pintu penyeludupan utama pekerja migran, menurut pihak berkuasa tempatan selepas menjalankan siasatan di Semenanjung Riau yang bersempadan dengan Malaysia.

    Badan Pelindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) Riau mengenal pasti kawasan berkenaan sebagai Medang Kampai di Kota Dumai, Rupat di Bengkalis, pesisir Indragiri Hilir dan Bagan Siapiapi di Rokan Hilir.

    Ketua BP3MI Riau, Fanny Wahyu Kurniawan, berkata pusat itu kini bekerjasama rapat dengan pihak polis, tentera, imigresen dan kerajaan tempatan bagi membanteras aktiviti penyeludupan pekerja migran secara haram ke Malaysia serta negara lain.

    “Kami memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat untuk mengenal pasti tempat perlindungan haram bagi pekerja migran.

    “Isu ini bukan hanya tanggungjawab BP3MI, tetapi menuntut kerjasama daripada semua pihak berkepentingan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Media Centre Riau.

    Gambar Envato

    Mengulas mengenai peningkatan jumlah pekerja migran Indonesia yang dihantar pulang dari Malaysia, beliau menegaskan bahawa masalah ini berpunca daripada kadar tinggi perlepasan tidak sah dari kawasan pesisir itu.

    Pekerja migran sering kali cuba memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah, walaupun pada hakikatnya bekerja di luar negara memerlukan persiapan rapi serta pematuhan terhadap prosedur perundangan.

    Fanny menggesa masyarakat untuk menggunakan saluran rasmi apabila merancang untuk bekerja di luar negara bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa mereka yang menawarkan laluan migrasi haram.

    “Jika anda ingin bekerja di luar negara, ikutlah peraturan dan prosedur yang ditetapkan. Paling penting, jauhi individu atau sindiket yang menjanjikan pekerjaan segera tanpa dokumen sah. Dengan mematuhi peraturan kerajaan, perlindungan yang menyeluruh dapat dijamin,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda