Penyerahan bagunan NIC

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Dalam tempoh 28 hari, Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) baharu yang secara keseluruhannya menelan belanja sebanyak $11,317,514 akhirnya telah berjaya disempurnakan.

Sehubungan itu, bagi menandakan sempurnanya pembinaan bangunan yang terletak berhampiran dengan Bangunan NIC yang lama di Daerah Tutong, pagi tadi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Penyerahan Kunci dan Perasmian Bangunan NIC Baharu tersebut.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dan seterusnya acara penyerahan kunci bangunan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; Timbalan Setiausaha

Tetap (Korporat dan Undang-undang) di Kementerian Pembangunan, Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir Lim Sui Kau Alice; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir Haji Mohd Salleh bin Haji Karim; Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain serta pegawai-pegawai dari Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menerima replika kunci Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) baharu daripada Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar pada Majlis Penyerahan Kunci dan Perasmian Bangunan NIC Baharu di Daerah Tutong. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan ketika meninjau kemudahan-kemudahan yang terdapat di pusat berkenaan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan bergambar ramai selepas acara penanaman pokok di luar Bangunan NIC baharu berkenaan. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

Sejurus selepas penyerahan kunci bangunan, majlis diteruskan dengan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi meninjau lebih dekat fasiliti-fasiliti dan fungsi pusat tersebut.

Acara diakhiri dengan penanaman pokok-pokok di luar Blok F NIC tersebut oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan. Di samping itu, turut menyertai acara penanaman pokok di pusat berkenaan ialah para doktor dan pasukan projek JKR.

Bangunan tersebut telah mula dibina pada 27 Mac lalu dan siap dibina pada 23 April dengan tujuan utamanya adalah sebagai respons pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya keperluan Kementerian Kesihatan dalam menampung rawatan dan pemantauan pesakit-pesakit yang dijangkiti COVID-19 di negara ini.

Kementerian Pembangunan telah melantik Syarikat LSL Sdn Bhd untuk membina bangunan berkenaan di atas tapak berukuran lebih 6,000 meter persegi, berdekatan dengan NIC yang ada sekarang.

Bangunan baharu berkenaan mengandungi tujuh blok utama dengan lima blok (blok A hingga E) bagi rawatan pesakit-pesakit yang memenuhi ciri-ciri keperluan yang lazimnya untuk setting klinikal dan dua blok (blok F dan G) adalah bagi pentadbiran dan kejuruteraan.

Bangunan NIC baharu berkenaan dilengkapi dengan peralatan-peralatan perubatan baharu serta beberapa fasiliti dan kemudahan termasuklah 160 katil dalam wad-wad pengasingan dan enam katil bagi rawatan intensif (ICU beds), farmasi, bilik-bilik rawatan, bilik bengkel peralatan, bilik mesyuarat, bilik genset, bilik kaunseling, bilik persiapan makanan, tandas dan bilik mandi, bilik gowning dan de-gowning, bilik ANTE, bilik sluice, bilik sisa biobahaya dan household, bilik stor bagi pembersihan peralatan, kawasan menunggu, dan surau.

Di samping itu, beberapa ciri-ciri keselamatan turut dipertingkatkan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan pegawai serta kakitangan yang bertugas di bangunan baharu berkenaan.