Penyerahan bendera bagi misi UNIFIL

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Penghormatan yang tinggi serta tanggungjawab yang amat besar dipikul oleh 30 orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan berlepas untuk mengikuti penugasan misi pengaman ke Lubnan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Pasukan pengaman ABDB berkenaan akan menyertai pasukan tentera dari Malaysia di dalam Batalion Malaysia 850-8 (MALBATT 850-8).

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada anggota ABDB yang menyertai misi pengaman di Lubnan telah berlangsung di Dewan Serba guna, Bolkiah Garison, hari ini.

Pada majlis itu, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat menyempurnakan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada ketua kontinjen Negara Brunei Darussalam, Mejar Zulazri bin Gapor.

Kontinjen seramai 30 orang anggota ABDB itu bertolak dari Negara Brunei Darussalam pada malam ini.

ABDB telah berkhidmat dalam misi pengaman UNIFIL sejak 2008 dan dalam masa berkenaan, telah menghantar seramai 34 orang pegawai dan 278 orang anggota ABDB.

Negara Brunei Darussalam akan terus komited dalam menjaga keamanan dan kestabilan di Lubnan selaras dengan Resolusi PBB 1701 (2006).

Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah (kiri) menyerahkan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Ketua Kontinjen, Mejar Zulazri pada Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada anggota ABDB yang menyertai Misi Pengaman di Lubnan berlangsung di Dewan Serba guna, Bolkiah Garison, kelmarin.
Gambar ramai anggota ABDB yang berlepas ke Lubnan sebagai pengaman UNIFIL bersama pasukan tentera dari Malaysia.