Penyerahan bendera kepada kontinjen negara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Kontinjen seramai 184 orang yang terdiri daripada 138 orang atlet dan 48 orang pegawai termasuk pegawai urus setia, pengurus pasukan dan jurulatih akan mewakili Negara Brunei Darussalam ke Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA ke-10, 2018 yang bakal diadakan di negara ini pada 7 hingga 9 Disember depan.

Sehubungan itu, majlis penyerahan bendera kepada kontinjen berkenaan telah diadakan di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, hari ini.

Hadir bagi menyempurnakan penyerahan bendera negara ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta ibu bapa dan penjaga atlet.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Zakaria bin Haji Salleh diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh  Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed selaku pengerusi majlis dan ucapan daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada chef de mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10, Negara Brunei Darussalam 2018.

Kemudian, majlis menyaksikan tayangan klip video dan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Haji Muhd Nurul Azrin bin Haji Gani, selaku chef de mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA ke-10, Negara Brunei Darussalam 2018.

Atlet-atlet tersebut akan menyertai kesemua acara yang dipertandingkan iaitu akuatik, boling padang, karate do, olahraga, pencak silat, sepak takraw, tekwando dan wusyu.

Negara Brunei Darussalam melalui KKBS dengan kerjasama persatuan-persatuan sukan kebangsaan Brunei Darussalam sekali lagi telah diberikan penghormatan untuk menganjurkan sukan persahabatan berkenaan.

Ia bertujuan untuk mengeratkan persahabatan antara ahli-ahli Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur, Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina-Northern Territory (BIMPNT-EAGA) dan para atlet ke arah perpaduan, persefahaman dan kerjasama melalui penganjurannya.

Edisi pertama sukan ini berlangsung di Filipina pada 1996 diikuti di Sarawak pada tahun berikutnya sebelum dihentikan sementara. Ia diadakan kembali pada 2003, dengan Filipina sekali lagi menjadi tuan rumah.

Edisi keempat diadakan di Sabah pada 2004, kemudian Indonesia pada 2006, Negara Brunei Darussalam pada 2008, Filipina pada 2012, Wilayah Persekutuan Labuan pada 2014 dan sebelum ini di Kalimantan Timur, Indonesia pada 2016.

Pada edisi ke-9 di Samarinda, Kalimantan Timur, kontinjen negara telah berjaya meraih empat pingat emas dan dua pingat perak melalui sukan olahraga, pencak silat dan sepak takraw.