Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyerahan bendera kepada MSSBD

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Kementerian Pendidikan menerusi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MSSBD) akan menyertai Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN Ke-9 yang akan berlangsung di Singapura bermula 14 Julai hingga 20 Julai nanti.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen MSSBD ke Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN ke-9 diadakan di Dewan Kuliah, Sekolah Sukan kelmarin.

    Di majlis berkenaan, Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar telah menyempurnakan penyerahan bendera kepada Haji Azis selaku Chef de Mission. Di samping itu, solat sunat hajat turut diadakan selepas majlis penyerahan bendera untuk memohon keberkatan dan perlindungan bagi penyertaan kontinjen MSSBD yang diadakan di Surau, Sekolah Sukan.

    Pencapaian terbaik Kontinjen MSSBD dalam kejohanan itu adalah mendapat satu pingat emas, satu pingat perak dan tiga pingat gangsa ketika Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 2015.

    Kejohanan itu dianjurkan setiap tahun sejak 2009 dengan negara-negara ASEAN bergilir-gilir dilantik menjadi tuan rumah dan kejohanan pada 2017, menerima penyertaan buat julung kali dari Myanmar, di mana ia menjadikan sebanyak 10 buah negara ASEAN menyertai kejohanan di Singapura itu.

    Timbalan Menteri Pendidikan bergambar ramai bersama kontinjen MSSBD yang akan mewakili Negara Brunei Darussalam di Singapura nanti.
    Timbalan Menteri Pendidikan bergambar ramai bersama kontinjen MSSBD yang akan mewakili Negara Brunei Darussalam di Singapura nanti.

    Negara Brunei Darussalam juga akan menerima lantikan selaku Presiden ASEAN Schools Sports Council (ASSC) semasa 54th ASSC Management Committee (MC) Meeting pada 14 Julai bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2019 bagi menggantikan Vietnam yang telah menjadi Presiden ASSC bagi tahun 2016 hingga 2017.

    Hadir selaku wakil Timbalan Menteri Pendidikan untuk menerima lantikan itu nanti ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN diadakan dengan hasrat untuk membantu memupuk kerjasama yang lebih erat dalam kalangan penuntut-penuntut sekolah di kalangan negara-negara ASEAN, memaju kemajuan sosial melalui jalinan kerjasama dalam bidang sukan, menggalakkan kerjasama dan komunikasi yang lebih aktif dalam bidang sukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda