BERLIN, 21 April – Polis Jerman hari ini berjaya menangkap suspek serangan bom di dalam bas pasukan Borussia Dortmund, pejabat pendakwa raya berkata sambil menambah serangan adalah bermotifkan kewangan dan bukan berkaitan keganasan.
Komando polis yang bekerja bagi pihak pejabat pendakwa persekutuan ‘elah menahan seorang lelaki warga Rusia keturunan Jerman berusia 28 tahun, Sergej W.,” kata satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, suspek berharap untuk mendapat keuntungan daripada penurunan harga saham pasukan bola sepak akibat serangan itu.
Insiden yang berlaku pada 11 April lalu menyaksikan tiga letupan berlaku beberapa minit sejurus bas pasukan meninggalkan hotel skuad menuju perlawanan suku akhir menentang Monaco.
Letupan itu memecahkan tingkap bas dan pemain antarabangsa Sepanyol Marc Bartra, 26, terpaksa menjalani pembedahan selepas terkena serpihan kaca. Seorang anggota polis pengiring bermotosikal mengalami trauma akibat bunyi letupan itu.
Peranti letupan itu mengandungi kepingan logam dan diletupkan sejurus bas bertolak. Radius letupan lebih daripada 100 meter. Perlawanan ditangguhkan selama sehari.
Terdapat tiga dakwaan yang dikatakan bertanggungjawab dalam serangan itu, di mana salah satu daripadanya dikaitkan dengan radikal Islam.
Bagaimanapun, sumber keselamatan mempersoalkan kesahihan dakwaan itu dengan pakar mencadangkan dakwaan tersebut mungkin dibuat sebagai cubaan memesongkan penyiasat ke landasan yang salah. – AFP