ZAGREB, 22 Sept – Jurulatih pasukan Dinamo Zagreb, Mario Cvitanovic dipukul oleh dua penyerang bertopeng menggunakan kayu pemukul di depan pangsapurinya di ibu negara Croatia, kata kelab tersebut semalam.
Bekas pemain antarabangsa berusia 42 tahun itu yang mengambil alih sebagai jurulatih Dinamo pada Julai lalu, patah lengan dalam serangan lewat Rabu lalu ketika dia pulang dari perlawanan Piala Croatia, media setempat melaporkan.
“Kehidupan saya adalah bola sepak….hubungan saya bersama para pemain yang baik,” Cvitanovic memberitahu sidang akhbar dengan lengannya berbalut.
Cvitanovic yang tidak menyatakan lebih lannut mengenai kemungkinan motif bagi serangan itu berkata: “Kehidupan peribadi saya adalah bersih…saya hanya mahu menjadi jurulatih bola sepak. Saya mahu kehidupan bola sepak dan tidak seorang pun dapat merampasnya dari saya..”
Kejadian pukulan itu berlaku sebulan selepas bekas bos kelab itu, Zdravko Mamic, yang sedang dibicarakan bagi kes rasuah, ditembak di kaki oleh penjenayah yang tidak dikenali di Bosnia.

“Malangnya ini hanyalah lanjutan daripada keganasan yang dibenarkan ke atas orang ramai dari kelab kami,” kata kenyataan dari Dinamo Zagreb, yang menggambarkan serangan ke atas Cvitanovic berkenaan sebagai ‘penakut’.
Kelab tersebut menggesa pihak berkuasa untuk ‘bangun dan berhenti untuk tidak menghiraukan segala-gala yang berlaku berhubungkait dengan Dinamo’.
Menteri Dalam Negeri, Davor Bozinovic berkata polis ‘bekerja secara intensif’ untuk mencari penjenayah serangan terbaru itu.
Selepas sembilan perlawanan, Dinamo pada masa ini mendahului kejuaraan kebangsaan dengan 25 mata.
Sejak bekas kemerdekaan republik Yugoslav, kelab itu telah memenangi gelaran kebangsaan sebanyak 18 kali. – AFP