Penyerang Christchurch didakwa

WELLINGTON, 21 Mei – Lelaki yang dituduh menembak mati 51 jemaah Islam dalam serangan masjid Christchurch dengan rasminya telah didakwa atas kesalahan pengganasan buat pertama kalinya hari ini, kata polis New Zealand.

Sebagai tambahan atas dakwaan pengganas, Brenton Tarrant juga berdepan 51 dakwaan bunuh dan 40 percubaan bunuh semasa serangan 15 Mac yang menggegarkan negara Pasifik Selatan.

“Dakwaan itu akan mengatakan bahawa satu tindakan pengganas telah dilakukan di Christchurch,” kata polis dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern telah menggambarkan pembunuhan masjid itu sebagai ‘satu serangan pengganas yang telah dirancang teliti’.

Namun sehingga sekarang dakwaan ke atasnya tidak berat, apabila Akta Penumpasan Keganasan New Zealand baharu diperkenalkan pada tahun 2002 dan belum lagi diuji di mahkamah.

Gambar fail bertarikh 23 Mac 2019 menunjukkan para jemaah ketika masuk ke masjid Al Noor selepas berlakunya insiden penembakan di Christchurch, New Zealand. Polis New Zealand pada 21 Mei telah memfailkan dakwaan keganasan ke atas lelaki yang dituduh membunuh 51 orang di dua masjid Christchurch. – AP

Polis berkata keputusan untuk meletakkan dakwaan keganasan lebih dua bulan selepas serangan telah dibuat melalui konsultasi bersama para pendakwa dan pakar-pakar perundangan kerajaan.

Tarrant, seorang warga Australia berusia 28 tahun pada masa ini ditahan dalam penjara berkeselamatan tinggi sedang menjalani ujian untuk memastikan jika dia sihat dari segi mental untuk dibicarakan bagi pembunuhan paling buruk dalam sejarah moden New Zealand.

Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 14 Jun.

Polis berkata mereka telah bertemu dengan ahli keluarga mangsa korban dan yang terselamat hari ini untuk menjelaskan tentang dakwaan tambahan itu.

“Polis komited untuk memberikan semua sokongan perlu dalam proses mahkamah yang penuh emosi dan mencabar bagi keluarga-keluarga mangsa serangan,” kata mereka. – AFP