Penyerang ditembak mati di Moscow

MOSCOW, 20 DIS – Media Rusia hari ini mengenal pasti lelaki yang melakukan tembakan terbuka berdekatan ibu pejabat agensi keselamatan FSB di tengah-tengah Moscow, membunuh seorang dan mencederakan lima, sebagai seorang lelaki yang berusia 39 tahun yang mempunyai hobi menembak.

Tiada pengesahan rasmi mengenai identiti penyerang yang telah ditembak oleh pasukan keselamatan selepas berlaku berbalas-balas tembakan kelmarin, tetapi media Rusia menamakan penyerang itu sebagai Yevgeny Manyurov bekas pengawal keselamatan yang tinggal di bandar Podolsk, kira-kira 40 kilometer (25 batu) di selatan Moscow.

Beberapa saluran di Telegram menerbitkan sekeping gambar lelaki bersenjata telah mati, lelaki yang memiliki janggut dengan memakai kaca mata dengan muka yang dipenuhi darah, berbaju hitam dengan lambang kepala serigala.

Saluran tabloid Komsomolskaya Pravda dan Ren TV melaporkan penembak itu memiliki tujuh senjata yang dimilikinya secara sah, memetik kenyataan penyiasat.

FSB pengganti KGB, memberikan sedikit maklumat mengenai lelaki yang ditembak mati selepas melakukan serangan di jalan Bolshaya Lubyanka di luar ibu pejabat FSB dan berhampiran dengan kawasan membeli belah yang sibuk di tengah-tengah ibu kota Rusia.

Jawatankuasa penyiasat, yang menyiasat jenayah berat berkata seorang pengawal keselamatan telah mati dan lima orang termasuk seorang orang awam, telah dirawat kerana mengalami kecederaan.

Datuk bandar Moscow, Sergei Sobyanin menulis di Twiter mangsa telah menerima rawatan perubatan yang diperlukan dan berterima kasih kepada FSB atas tindakan cepat yang diambil.

Rusia tidak mengatakan serangan itu berkaitan dengan keganasan dan hanya membuka satu siasatan terhadap serangan ke atas pegawai penguat kuasa undang-udang. – AFP

Pegawai polis Rusia mengawal kawasan berhampiran bangunan Perkhidmatan Persekutuan Keselamatan. – AP