LONDON, 13 MEI – Penyerang Nottingham Forest, Taiwo Awoniyi dikejarkan ke hospital bagi pembedahan kecemasan susulan kecederaan bahagian perut, menurut beberapa laporan kelmarin.
Pemain antarabangsa Nigeria itu me-ngalami kecederaan apabila dia terlanggar tiang gol ketika Forest seri 2-2 menentang Leicester di City Ground pada Ahad.
Awoniyi melayangkan badannya dalam usaha menyambut hantaran silang Anthony Elanga dan cuba meneruskan perlawanan selepas menerima rawatan selama beberapa minit.
Tahap kecederaan sebenar pemain itu hanya disedari staf perubatan Forest dan laporan menyatakan dia dibawa serta-merta bagi menjalani pembedahan, yang dipercayai tidak mengancam nyawanya.
Insiden itu mencetus reaksi marah pemilik Forest, Evangelos Marinakis, yang menyer-bu masuk ke tengah padang dan bertengkar dengan Nuno Espirito Santo dalam satu insiden aneh selepas wisel penamat.
Marinakis berkata dia bimbang dengan keadaan Awoniyi selepas dia ditinggalkan walaupun Nuno berunding dengan kakitangan perubatannya semasa waktu rehat.
Ia hari mengecewakan buat Forest, dengan harapan mereka ke Liga Juara-Juara menerima tamparan paling besar selepas keputusan seri dengan Leicester yang tersingkir. – AFP
