Thursday, June 8, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    Penyerang kongsi rancangan serangan di Facebook

    UVALDE, 27 MEI – Lelaki bersenjata yang menembak mati 19 pelajar Sekolah Rendah Robb di Texas berkongsi rancangannya untuk menyerang sekolah itu di Facebook kira-kira 15 minit sebelum melepaskan tembakan, kata Gabenor negeri sambil menambah senjata digunakan jenis AR-15.

    Gabenor Greg Abbott juga memberitahu, lelaki bersenjata itu turut menembak muka neneknya sebelum menuju ke sekolah rendah berkenaan, di mana dia menembak mati 19 pelajar dan dua guru.

    “Kami bekerjasama rapat dengan pihak penguatkuasa undang-undang dalam siasatan berterusan mereka,” kata jurucakap syarikat induk Facebook Meta, Andy Stone.

    Abbott memberikan butiran asas mengenai serangan pada Selasa lalu.

    “Perkara pertama yang berlaku ialah lelaki bersenjata itu menembak muka neneknya.

    “Wanita itu kemudian menghubungi pihak polis. Lelaki bersenjata berkenaan melarikan diri dan mengalami kemalangan (kenderaan) di luar sekolah rendah, sebelum berlari memasuki sekolah.

    “Pegawai sekolah terserempak dengan suspek, tetapi dia lari masuk menerusi pintu belakang dan menuruni dua lorong pendek sebelum masuk ke dalam kelas di sebelah kiri,” katanya.

    Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, meminta rakyat negara itu melobi dan mendesak ahli Kongres meluluskan undang-undang senjata api yang lebih ketat susulan tragedi 19 pelajar sekolah rendah mati ditembak.

    Pelaku serangan itu, Salvador Ramos, 18, yang turut membunuh dua lagi mangsa dewasa, mati ditembak selepas menyerang anggota polis di sekolah terbabit. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Australia haram simbol Nazi

    SYDNEY, 8 JUN - Australia pada hari Khamis mengumumkan ia akan melarang pameran awam simbol Nazi, ketika negara itu bergumul dengan kumpulan kecil ekstremis...
    - Advertisment -