Penyerang siar manifesto perkauman

CHRISTCHURCH, New Zealand, 15 Mac – Seorang lelaki bersenjata Australia,yang melancarkan serangan ke atas dua buah masjid di New Zealand hari ini, sehingga meragut kira-kira 49 nyawa, telah menyiarkan satu manifesto perkauman di Twitter sebelum menyiarkan serangannya itu secara langsung.

Kerajaan New Zealand berkata pihaknya melarang perkongsian video berkenaan, yang menunjukkan lelaki bersenjata berkenaan berulang kali melepaskan tembakan kepada para jemaah pada jarak dekat.

Video langsung Facebook, yang diambil menerusi kamera yang dipasang di badan lelaki bersenjata berkenaan, menunjukkan seorang lelaki Kaukasia tanpa janggut, berambut pendek memandu keluar ke Masjid Al Noor di tengah Christchurch.

Dia memasuki bangunan masjid dan melepaskan tembakan berulang kali kepada para jemaah masjid tatkala dia beralih dari sebuah bilik ke sebuah bilik.

AFP telah memastikan keaslian video berkenaan menerusi satu penyiasatan digital termasuklah memadankan gambaran masjid yang diambil daripada futej lelaki bersenjata berkenaan bersama beberapa gambar yang terdapat di dalam talian telah menunjukkan kawasan yang serupa.

Seorang anggota polis dilihat mengawal orang ramai dari menghampiri masjid berkenaan setelah diserang oleh lelaki bersenjata di tengah Christchurch, New Zealand, kelmarin. – AP
Pasukan polis New Zealand menutup sebatang jalan raya berdekatan sebuah masjid di Linwood, Christchurch, New Zealand, kelmarin. – AP

‘Manifesto’ tersebut memperincikan motivasi serangan yang disiarkan pagi hari ini menerusi akaun Twitter yang memiliki nama dan gambar profil sama seperti dalam laman Facebook yang menyiarkan rakaman berkenaan.

Dalam video tersebut, penembak tersebut meletakkan kenderaannya berdekatan masjid dan memasukinya sambil membawa sepucuk senapang. Dia kemudiannya secara perlahan-lahan menuju ke kenderaannya untuk mengambil senjata yang lain.

Dia kemudiannya berjalan ke kompaun masjid dan melepaskan tembakan ke atas seseorang yang berdiri berdekatan pintu sebelum membuangnya dan menembak berulang kali dengan senjata keduanya ketika bergerak ke dalam masjid.

Penyerang berkenaan telah melepaskan berpuluh-puluh tembakan ke arah jemaah yang cuba melarikan diri atau bertiarap dalam sekumpulan jemaah yang berada di bahagian sudut masjid berkenaan.

Dalam video yang disaksikan AFP, penyerang tersebut dilihat menukar kartrij sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang dua minit. – AFP