Penyerang turut rancang bakar masjid

NEW ZEALAND, 24 OGOS – Penembak Christchurch yang membunuh 51 orang awam pada 2019 dalam serangan ke atas dua masjid New Zealand, Brenton Tarrant, turut merancang untuk membakar masjid berkenaan, kata seorang hakim.

Tarrant, mengaku bersalah atas 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh, dan satu tuduhan melakukan keganasan.

Perbicaraan terhadap keganasan tersebut akan dijalankan selama empat hari bermula hari ini.

Khidmat anjing penghidu digunakan untuk memeriksa kakitangan mahkamah dan media yang beratur di tempat keselamatan pada pagi yang mendung dan hujan di bandar itu.

Peguam menjangka Tarrant menjadi orang pertama yang dipenjara seumur hidup tanpa pembebasan bersyarat di New Zealand.

Mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mangsa serangan masjid Christchurch tiba pada hari pertama perbicaraan Brenton Tarrant di Christchurch, kelmarin. – AFP
Tarrant ketika hadir pada hari pertama perbicaraan di mahkamah, kelmarin. – AFP

Menurut pertuduhan, yang dibacakan Pendakwaraya Diraja Barnaby Hawes, pengganas itu berhati-hati merancang serangan berkenaan untuk menyebabkan sebanyak mungkin kematian.

Sebelum serangan itu, Tarrant telah mengumpulkan banyak maklumat mengenai pelan dalaman masjid, lokasi, waktu solat, dan tarikh penting kalendar umat Islam bagi memastikan waktu paling sibuk di masjid,” ujar Hawes dalam video yang dikongsi New Zealand Herald.

Selain sejumlah besar senjata api dan peluru di dalam kereta Tarrant, terdapat empat bekas mengisi petrol yang sudah diubah suai yang dirancang digunakan sebagai bahan bakar. Tertuduh merancang untuk membakar masjid-masjid itu di akhir serangan.

Tarrant, rakyat Australia berpindah ke New Zealand pada 2017, hadir di mahkamah dan menunjukkan sedikit penyesalan. Dia akan berada di kandang tertuduh sepanjang empat hari, untuk mahkamah mendengar keterangan daripada kira-kira 66 individu.

Serangan, yang dilakukan Tarrant pada 15 Mac 2019, di bandar terbesar di selatan pulau New Zealand itu, disiarkan secara langsung di Facebook melalui kamera yang dipasang di badannya.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pernah menyatakan serangan itu sebagai ‘satu hari paling gelap di New Zealand’, Tarrant bersenjata senapang separa automatik dan menyerbu dua masjid pada 15 Mac 2019, melepaskan tembakan rambang ke atas jemaah ketika solat Jumaat. – Bernama/AFP