Penyertaan BBRS Edisi Batang Duri dibuka

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Para penggemar aktiviti memerhati burung berpeluang untuk menguji kemahiran mereka dan dialu-alukan untuk menyertai Perlumbaan Edisi keempat (Peringkat Akhir) Memerhati Burung Brunei Bersiri (BBRS) 2019 iaitu Edisi Batang Duri yang kini dibuka bagi penyertaan orang ramai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, hari ini, penyertaan bagi perlumbaan yang dianjurkan oleh jabatan berkenaan dengan sokongan daripada agensi-agensi kerajaan, persatuan dan syarikat swasta yang berkepentingan itu dibukakan secara dalam talian melalui laman sesawang www.brunei.event.

Perlumbaan akan diadakan pada 7 dan 8 Disember di sekitar kawasan Batang Duri, Mukim Amo, Daerah Temburong.

Kenyataan menyatakan bahawa penyertaan bagi BBRS 2019 Edisi Batang Duri dibukakan bermula hari ini hingga 1 Disember dengan bayaran penyertaan secara individu sebanyak $32 seorang.

Penyertaan bagi acara berkenaan dibukakan kepada orang ramai yang berumur 12 tahun ke atas yang sihat tubuh badan, peminat pemerhati spesies burung, juru foto atau para pencinta alam semula jadi yang berminat untuk mencuba aktiviti riadah memerhati dan mengambil foto spesies burung di Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan turut menyatakan bahawa setiap peserta akan menerima jersi baju BBRS 2019 edisi Batang Duri, beg cenderahati dan e-sijil penyertaan.

BBRS 2019 Edisi Batang Duri akan diadakan dalam tempoh dua hari serupa dengan perlumbaan Edisi Tasek Merimbun dan Edisi Labi, di mana ia akan memberikan pengalaman kepada para peserta untuk memerhati spesies burung yang menarik di sekitar Kawasan Jalan Batang Duri dan tempat-tempat check-point pilihan seperti Sumbiling Eco Village, Taman Rekreasi Batang Duri dan Taman Negara Ulu Belalong.

Setelah tiga edisi perlumbaan dijalankan di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait, sebanyak 118 spesies telah digambar oleh lebih 20 orang peserta BBRS 2019 termasuk spesies yang sangat dicari-cari di kepulauan Borneo iaitu Bornean Bristlehead.