Penyertaan Malaysia kukuh dalam mod eksport bukan ekuiti

KUALA LUMPUR, 19 NOV – Malaysia mencatat penyertaan kukuh dalam eksport mod bukan ekuiti (NEM) dan berkait rapat dengan rantaian nilai global syarikat-syarikat transnasional (TNC), kata Pusat ASEAN-Jepun (AJC).

Dalam kertas terbitannya bertajuk ‘Mod Perdagangan Bukan Ekuiti di ASEAN: Menggalakkan Bentuk Perdagangan Baharu antara Jepun dan ASEAN’ yang memberi tumpuan ke atas Malaysia, AJC berkata NEM yang beroperasi di negara ini merangkumi modaliti dan industri seperti subkontrak dalam elektronik, tekstil dan pakaian, perladangan kontrak dalam pertanian dan pemprosesan makanan, francais bidang perhotelan, rantaian makanan segera serta premis peruncitan.

“Daripada empat eksport utama dari Malaysia iaitu produk elektrik dan elektronik (E&E), minyak dan gas, minyak sawit serta tekstil dan pakaian – produk pertama dan terakhir itu ternyata didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI) atau NEM atau gabungan kedua-duanya,” katanya.

Menurut AJC, sejak 1970-an, Malaysia merupakan pengeksport utama produk-produk elektrik dan elektronik yang masih menjanjikan potensi pertumbuhan yang kukuh bagi negara ini.

Bagaimanapun, AJC berkata biarpun muncul sebagai negara berpendapatan tengah tinggi, sebahagian besar aktiviti-aktiviti ekonomi Malaysia masih terhad kepada kegiatan dengan nilai tambah rendah dan sederhana serta belum beralih kepada aktiviti dengan nilai tambah tinggi.

Sehubungan itu, AJC menyarankan strategi berkaitan NEM diberi tumpuan termasuk melibatkan hubungan dengan rantaian nilai global TNC sebagai pembekal menerusi operasi firma tempatan dan latihan pekerja tempatan.

Ia turut menyarankan pembangunan keupayaan peringkat tinggi dalam pengurusan, inventori dan teknologi kawalan kualiti serta pengeluaran bagi memenuhi piawaian dan permintaan TNC dan penambahbaikan teknologi firma tempatan. – Bernama