Penyertaan MTQBK dibukakan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan menganjurkan pertandingan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan (MTQBK) 2020, Peringkat Saringan pada 2 hingga 4 September depan.

KKBS dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa penyertaan hanya dibukakan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap yang memegang kad pintar berwarna ungu serta tidak memegang pasport negara asing.

Peserta juga hendaklah berumur antara 15 hingga 30 tahun yang lahir pada 1 Januari 1990 hingga 31 Disember 2005 dan tidak pernah menjadi johan pertandingan seperti Majlis Tilawah Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa anjuran kerajaan Malaysia atau Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.

Sehubungan itu, borang penyertaan boleh didapati secara dalam talian melalui laman sesawang Jabatan Belia dan Sukan, www.belia-sukan.gov.bn, di mana setiap peserta dikehendaki untuk mendaftar melalui sistem YSNet.

Pendaftaran telah dibukakan sejak 22 Jun lalu dan tarikh tutup penyertaan ialah pada 8 Ogos.

Untuk keterangan lanjut orang ramai boleh menghubungi Urus Setia Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan di talian 2381903 sambungan 1301,1304 atau 1305.