BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal
Masjid Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong akan mengendalikan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa sebagai pemilihan awal mencari wakil qari dan qariah yang akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia.
Pertandingan dibukakan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (pemegang kad pengenalan warna kuning), beragama Islam, bermazhab Syafiee aliran Ahli Sunah Wal Jama’ah dan berumur tidak kurang dari 18 tahun serta tidak lebih dari 40 tahun semasa mendaftar.
Menurut kenyataan yang KHEU, pemilihan awal peringkat masjid akan diadakan bermula 21 hingga 31 Ogos depan di kesemua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.
Borang-borang penyertaan mula diedarkan pada 8 Julai lalu hingga 17 Ogos depan dan boleh diperolehi di Bahagian Imarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Simpang 15, Kampung Sumbiling atau di pejabat-pejabat hal ehwal masjid di keempat-empat daerah.
Borang yang telah lengkap hendaklah dihantar tidak lewat pada 17 Ogos jam 4 petang.
Untuk maklumat lanjut mengenainya bolehlah berhubung terus dengan Setiausaha Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Zon dan Daerah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Azmi bin Haji Abidin di talian 2223277 pada waktu pejabat atau di talian 8766087.