Penyertaan musabaqah sempena Nuzul Al-Quran dibukakan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS kini membukakan permohonan bagi Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan Tahun 1442 Hijrah.

Ini merupakan salah satu projek tahunan KHEU bagi menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam dan merupakan pengisian dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara.

Penyertaan musabaqah tersebut dibukakan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap yang beragama Islam dan setiap penyertaan hanya boleh mengikuti satu kategori musabaqah saja dengan mengikut syarat bagi se-tiap daripada lima kategori yang dipertandingkan.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menyertainya, borang boleh diperolehi di Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, KHEU di Blok 2H, Tingkat 8, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping di ibu negara.

Manakala itu, borang yang telah lengkap diisikan hendaklah dikembalikan ke pusat berkenaan tidak lewat 30 November depan, pukul 4 petang.