Penyertaan skuad hoki wanita Sarawak belum pasti

KUCHING, 29 JULAI – Persatuan Hoki Sarawak (SHA) masih belum memutuskan sama ada untuk meneruskan atau tidak penyertaan dalam kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2020 yang dijadualkan pada 21 hingga 29 Ogos ini.

Presiden SHA Datin Mary Sadiah Zainuddin berkata persatuan itu pada awalnya telah menghantar penyertaan untuk kategori wanita sahaja dalam kejohanan itu tetapi ia kini bergantung kepada situasi pandemik COVID-19.

Bagi penyertaan skuad lelaki untu kejohanan itu, beliau berkata persatuan telah mengambil keputusan untuk tidak menghantar penyertaan memandangkan prestasi mereka belum mencapai tahap yang memuaskan.

“Melihat kepada situasi terbaharu pandemik, penyertaan kami seolah-olah di awang-awangan sekarang ini kerana latihan dan persiapan kami akan terjejas dan tertakluk kepada pengumuman oleh SDMC (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri),” katanya kepada Bernama. Menurut beliau, mengikut perancangan awal, latihan untuk pasukan wanita negeri untuk kejohanan Piala Tun Abdul Razak akan disambung pada 1 Ogos ini.

“Bagaimanapun, Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri Sarawak memberitahu bahawa latihan boleh diadakan selepas 14 Ogos,” katanya. – Bernama