STRESA, ITALI, 24 MEI – Para penyiasat mencari puncanya hari ini berhubung nahas kereta kabel di pergunungan Itali yang mengorbankan 14 orang termasuk lima warga Israel manakala seorang kanak-kanak masih bertarung nyawanya di hospital.
Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu masih ditahan di hospital, satu-satunya mangsa terselamat dalam kemalangan kelmarin di puncak gunung Mottarone di rantau Piedmont, dengan pegawai hospital mengatakan dua hari seterusnya sangat penting.
Kereta kabel itu terhempas jatuh ke tanah selepas kabelnya putus, menurut laporan awal, sementara seorang anggota perkhidmatan kecemasan mengatakan brek keselamatan gagal berfungsi.
Kereta kabel itu melanggar pilon, kemudian jatuh ke tanah, bergolek ke cerun gunung kira-kira 500 meter, menurut laporan berita.
Mangsa terselamat yang ibu bapanya serta adiknya berusia dua tahun terbunuh, telah dipindahkan ke hospital Turin kelmarin, di mana dia dirawat akibat cedera pada tengkorak, dada dan abdomen serta keretakan di kakinya.
Jurucakap di hospital Citta della Salute memberitahu AFP kanak-kanak itu dalam keadaan stabil selepas ditidurkan namun keadaannya masih parah. – AFP
