Penyiasat: Mungkin terdapat persamaan

WASHINGTON, 14 Mac – Pengharaman ke atas pesawat udara Boeing 737 MAX dikenakan di seluruh dunia selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyertai Kanada dan negara lain untuk menghentikan pesawat udara itu, dan perakam penerbangan kotak hitam daripada kapal terbang yang terhempas dibawa ke Perancis untuk dianalisis hari ini.

Pihak berkuasa AS berkata bukti baharu menunjukkan terdapatnya persamaan di antara nahas Ethiopian Airlines Boeing 737 MAX 8 pada Ahad dan kemalangan di Indonesia pada Oktober. Nahas pada hujung minggu membunuh kesemua 157 orang dalam kapal terbang.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan berkata semalam hasil dapatan daripada tapak nahas berhampiran Addis Ababa dan ‘data satelit baharu’ mewajarkan ‘siasatan lanjut mengenai kemungkinan punca yang sama untuk kedua-dua kejadian.’

Satu arahan kecemasan FAA tidak membenarkan pesawat berkenaan daripada membuat penerbangan sehingga notis lanjut. Trump memberitahu wartawan di Rumah Putih ‘keselamatan rakyat Amerika dan semua orang menjadi tanggungjawab utama kami.’ – AFP

Pesawat Boeing 737 Max 8 dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sky Harbor pada 13 Mac 2019 di Phoenix, Amerika Syarikat. – AFP