Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Penyimpanan gas Jerman 80 peratus penuh

    BERLIN, 23 OGOS – Pusat kemudahan penyimpanan gas asli Jerman kini lebih daripada 80 peratus penuh, menunjukkan kemajuan yang stabil walaupun terdapat pengurangan drastik dalam penghantaran dari Rusia di tengah-tengah peperangan di Ukraine.

    Penyimpanan gas negara ekonomi terbesar Eropah itu telah mencapai 80.14 peratus kapasiti, menurut angka industri yang dikeluarkan pada awal hari ini.

    Ketua pengawal selia rangkaian Jerman, Klaus Mueller, berkata bahawa tempat penyimpanan sedang diisi secara berterusan tetapi memberi amaran bahawa pemberhentian tiga hari yang dirancang untuk penghantaran melalui saluran paip Nord Stream 1 dari Rusia minggu depan boleh membantut sementara usaha itu.

    Gas asli digunakan untuk menjana kuasa industri, memanaskan rumah dan pejabat serta menjana kuasa elektrik. Kerajaan Jerman menumpukan usaha bagi meningkatkan jumlah penyimpanan sejak tercetusnya peperangan Rusia-Ukraine bagi mengelakkan catuan untuk industri apabila permintaan meningkat pada musim sejuk akan datang.

    Pusat penyimpanan gas asli negara itu adalah pada kadar kira-kira 56 peratus penuh apabila syarikat tenaga milik negara Rusia, Gazprom, mula memotong bekalan melalui Nord Stream 1 pada pertengahan Jun lalu. Dalam beberapa minggu kebelakangan, Nord Stream 1 telah menjalankan operasi pada hanya 20 peratus daripada kapasiti. Gazprom mengumumkan bahawa saluran paip akan ditutup dari 31 Ogos hingga 2 September depan bagi membolehkan apa yang dikatakan sebagai penyelenggaraan rutin di stesen pemampat.

    Pada bulan lalu, kerajaan Jerman telah membuat usaha untuk mengetatkan keperluan penyimpanan. Inisiatif itu memperkenalkan keperluan untuk penyimpanan menjadi 75 peratus penuh menjelang 1 September depan iaitu sasaran yang telah pun diatasi dan menaikkan sasaran untuk Oktober dan November depan kepada 85 peratus dan 95 peratus. – AP

    Loji penyimpanan gas Reckrod digambarkan berhampiran Eiterfeld, Jerman. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...