Penyimpanan, penggunaan bahan letupan tidak betul punca letupan

BEIJING, 23 FEB – Penyimpanan dan penggunaan bahan letupan yang tidak betul menyebabkan letupan besar di sebuah lombong emas di timur China yang mengorbankan 10 orang bulan lalu, lapor media China hari ini.

Seramai 45 orang menghadapi pelbagai hukuman atas kejadian yang berlaku di bandar Qixia di wilayah Shandong, termasuk kemungkinan hukuman jenayah, lapor akhbar Parti Komunis yang berkuasa, People’s Daily.

Letupan pada 10 Januari telah menyebabkan 22 pekerja di bawah tanah terperangkap, mendorong usaha menyelamat selama dua minggu yang akhirnya membawa 11 mangsa yang terselamat ke permukaan. Bagaimanapun seorang masih dilaporkan hilang.

Di antara mereka yang menghadapi hukuman ialah 28 pegawai awam dan 15 pegawai dari syarikat peledakan, pembinaan dan perlombongan yang terlibat di mana kerja-kerja perlombongan itu beroperasi. Kedua-dua pemilik lombong, Shandong Wucailong Investment Co. Ltd., dan kerajaan bandar Qixia telah menunda laporan kemalangan selama lebih dari 24 jam dalam usaha yang jelas untuk mengelakkan hukuman.

Kerugian ekonomi langsung daripada kemalangan itu dilaporkan melebihi 68 juta yuan (AS$10.5 juta).

Usaha menyelamat dalam jangka yang lama dan memerlukan peruntukan kos yang tinggi jarang berlaku untuk industri perlombongan China, yang rata-rata telah mengorbankan 5,000 kematian setiap tahun. – AP

Gambar fail pada 13 Januari 2021 menunjukkan penyelamat melakukan operasi di lokasi sebuah lombong emas yang mengalami letupan di Qixia di wilayah timur Shandong, China. – AP