THESSALONIKI, 26 Feb – Jurulatih Olympiakos, Oscar Garcia terpaksa menjalani rawatan di hospital yang dikawal ketat semalam selepas mengalami luka di bahagian muka akibat terkena objek yang dilemparkan oleh penonton ketika menghadapi perlawanan antara PAOK dan Olympiakos yang kemudiannya terpaksa dibatalkan ekoran kekacauan yang dicetuskan penyokong.
Garcia dipercayai cedera selepas terkena tisu tandas yang dihumbankan ke arahnya oleh seorang penonton beberapa minit sebelum perlawanan bermula.
Pihak polis terpaksa berkawal di luar bilik Garcia, sementara itu tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak hospital mengenai keadaannya.
Warganegara Sepanyol itu dibawa ke hospital Thessaloniki menggunakan kenderaan ambulans dengan kesan darah di bibir dan mengadu mengalami pening.
Pengadil Alexandros Aretopoulos turut meninggalkan stadium tanpa mengeluarkan sebarang kenyataannya dan akan mengeluarkan laporannya mengenai pembatalan perlawanan berkenaan kepada Persekutuan Bola Sepak Greece.

PAOK dijangka akan menghadapi denda dengan menyaksikan dua atau tiga mata percuma diberikan kepada pasukan Olympiakos dengan menyaksikan kemenangan yang berpihak kepada pasukan itu.
Insiden itu turut memaksa pemain Olympiakos meninggalkan padang sebagai tanda protes sebelum kekecohan para penonton berterusan di luar stadium.
“Saya selamatkan pemain saya dan terus pergi. Selamat tinggal,” kata Naib Presiden dengan nada marah, yang juga Pengarah Urusan Olympiakos, Savvas Theodoridis kepada Aretopoulos.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PAOK, Kyriakos Kyriakos berkata: “Jelas bahawa kedatangan Olympiakos datang ke sini dengan tujuan sebegitu iaitu menangguhkan perlawanan.
“Mereka sudah melakukan provokasi selama 30 tahun.
“Mereka datang ke sini dengan tujuan mahu bersorak dan melakukan provokasi.”
Penyokong PAOK yang marah kemudian bertempur dengan pihak polis yang terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi mengawal keganasan perusuh. – AFP