BERLIN, 24 Jun – Penyokong Jerman menari dalam hujan di Berlin sebagai meraikan kejayaan skuad juara bertahan itu mengelak daripada tersingkir awal pada kempen Piala Dunia dengan menewaskan Sweden 2-1.
Mereka yang menyaksikan perlawanan itu menerusi tayangan skrin besar di Brandenburg Gate terpaksa menanti penuh debaran sebelum membaling payung selepas jaringan kemenangan Toni Kroos menyelamatkan Jerman.
“Saya sangat, sangat gembira,” kata Rasdan Abdullah sebaik wisel penamat dibunyikan di Sochi.
“Ia perasaan cukup hebat,” kata Birgit Schlag, yang datang ke Berlin untuk menyaksikan konsert Rolling Stones sehari sebelum perlawanan.
Hujan mula membasahi bandar Jerman sebaik Ola Toivonen meletakkan Sweden di depan selepas setengah jam permainan berlangsung dengan penyokong tetap menaruh harapan apabila terus bersorak pada rehat babak pertama.
Kelegaan mula terpancar di wajah mereka apabila Marco Reus menyamakan kedudukan selepas separuh masa kedua bersambung. Apabila Kroos melencongkan sepakan percuma pada minit kelima masa kecederaan, penyokong Jerman melompat kegembiraan.
“Saya sudah katakan sebelum ini yang Reus akan menjaringkan gol,” kata Dieter Mann, seorang pemandu pelancong berusia 60 yang memakai bendera Jerman di kepalanya.
“Ia keputusan tepat menurunkannya dan menggugurkan Mesut Ozil.”
Selepas tumpas 0-1 di tangan Mexico pada perlawanan pembukaan, Jerman perlu menewaskan Sweden untuk mengelak daripada tersingkir awal.
Dengan Mexico kini mengungguli Kumpulan F selepas meraih kemenangan kedua semalam, nasib Jerman bergantung kepada keputusan menentang Korea Selatan manakala Sweden perlu menang ke atas Mexico andai mahu layak ke pusingan kalah mati. – AFP