Penyokong Saints ejek tragedi Sala

LONDON, 10 Feb – Southampton berjanji akan menggantung penyokong yang menjadikan tragedi kematian Emiliano Sala sebagai bahan ejekan ketika menerima kunjungan Cardiff City, semalam.

Perlawanan Liga Perdana Inggeris itu adalah aksi pertama Cardiff sejak mayat yang dikenal pasti sebagai penyerang dari Argentina itu ditemui oleh penyiasat British dalam bangkai pesawat yang terjunam ke Selat Inggeris.

Bagaimanapun, selepas perlawanan sebuah video di media sosial menunjukkan dua lelaki di Stadium St Mary membuat gerak isyarat kapal terbang yang ditujukan kepada tempat duduk penyokong pelawat.

Southampton mengesahkan polis sudah menahan dan mengambil butiran peribadi kedua-dua individu tersebut. Kelab The Saints juga berjanji akan mengambil ‘tindakan tegas’ ke atas mereka yang terbabit.

“Kelab Bola Sepak Southampton mengesahkan dua penyokong sudah ditahan dan keterangan sudah diambil oleh polis sewaktu aksi bertemu Cardiff malam tadi,” kata kelab berkenaan.

“Kelab akan terus bekerjasama dengan polis Hampshire untuk mengenal pasti mana-mana individu lain yang membuat isyarat sama kepada penyokong Cardiff. Sikap sebegitu tidak boleh diterima dalam sukan bola sepak dan kami tidak bertoleransi dengannya di St Mary,” tegasnya. – AFP