Penyu agar terperangkap bawah timbunan pokok tumbang diselamatkan

CHUKAI, 9 OGOS – Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh menyelamatkan seekor penyu agar betina seberat 150 kilogram yang terperangkap di bawah timbunan pokok tumbang di Pantai Cakar Hutan, Kampung Labohan, Kerteh di sini pagi tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Terengganu Shahrizal Shamsudin berkata sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 8:20 pagi, seramai 10 anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika anggota kita sampai ke lokasi terdapat seekor penyu terperangkap di bawah timbunan sebatang pokok tumbang dan pihak bomba bertindak membuat laluan keluar dan memotong pokok berkenaan menggunakan alatan pemotong kayu.

“Penyu tersebut berjaya dikeluarkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pihak bomba kemudiannya melepaskan kembali penyu itu ke laut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. – Bernama

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh menyelamatkan seekor penyu agar betina yang terperangkap di bawah timbunan sebatang pokok tumbang di Pantai Cakar Hutan, Kampung Labohan, Kerteh pagi kelmarin. – Bernama