Penyu berkepala dua disebabkan genetik

SEMPORNA, 17 JULAI – Penetasan anak penyu berkepala dua boleh berlaku disebabkan faktor genetik, kata ahli akademik Profesor Madya Dr Juanita Joseph.

Dr Juanita yang berkhidmat di Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah berkata perkara itu boleh terjadi tetapi bukan selalu.

“Penyu dua kepala ini dipanggil Bicephaly atau Dicephalism ini jarang berlaku dan faktor genetik mungkin memainkan peranan penting dalam pembentukan penyu berkepala dua ini.

“Kadang-kadang terdapat kesilapan dalam genetik, sama seperti manusia juga kadang ada ketaknormalan pada kromosom,” katanya kepada Bernama.

Semalam dilaporkan seekor anak Penyu Hijau berkepala dua menetas di pusat pembiakan penyu, Mabul Turtle Hatchery yang diuruskan SJ SEAS, iaitu badan pemuliharaan di bawah Scuba Junkie (SJ) di Pulau Mabul, dekat sini.

Penemuan itu mengejutkan banyak pihak yang terlibat dalam program pemuliharaan penyu di Sabah.

Menurut Dr Juanita, kejadian unik itu pernah berlaku di Pulau Redang, Terengganu pada 2014.

“Pernah (semasa bertugas sebagai penyelidik di Unit Penyu Laut (Seatru) Universiti Malaysia Terengganu) kami jumpa penyu dua kepala ini, kami jaga tetapi mati selepas tiga atau empat bulan selepas itu.

“(Ketika itu) penyu ini ada dua kepala tetapi organ dalaman semua dikongsi bersama, masalah timbul sebab satu kepala mengambil udara atau makan, satu kepala lagi akan terminum air, lama kelamaan akhirnya mati,” katanya. – Bernama