Penyu ditemui mati di pantai Singapura

SINGAPURA, 3 Jan – Seekor penyu gergasi terancam ditemui mati di pantai Singapura dengan cangkerangnya terbelah dua, sepertinya terkena kipas kapal, kata pakar dan lelaki yang menemukannya hari ini.

Chandran V R berkata dia menemui penyu tersebut, yang digambarkan lebih 3.3 kaki panjangnya, semasa berjoging di sepanjang pantai di timur kota itu kelmarin.

“Baunya cukup busuk dan apabila saya menjejaki bau itu saya lihat benda besar….saya berjalan ke arahnya dan lihat seekor penyu yang sudah mati,” ujarnya kepada AFP.

“Saya berjalan di sekelilingnya dan saya boleh lihat terdapat kesan koyakkan pada cangkerangnya… pada pendapat saya ia mungkin terkena kipas kapal.”

Chandran, seorang eksekutif hartanah berkata dia telah menghubungi polis.

“Saya amat ambil berat…saya hanya tidak mahu orang sesuka hati membuang bangkainya.

“Ia adalah penyu, memang ada orang yang makan penyu di sebahagian rantau ini,” katanya.

Stephen Beng, pengerusi Kumpulan Pemuliharaan Marin Masyarakat Semula Jadi Singapura berkata haiwan itu kelihatannya seperti penyu hijau betina, yang menghuni terumbu pulau tersebut.

Kumpulan Alam Sekitar WWF telah mengklasifikasikan penyu hijau itu sebagai haiwan terancam. – AFP