Penyu kembali ke pantai Thailand semasa pandemik

PHUKET, THAILAND – Selepas bertelur di pantai Thailand yang terbiar, seekor penyu laut hijau kembali ke perairan laut Andaman yang berwarna biru kehijauan – petunjuk yang menggalakkan bagi ahli biologi yang mengatakan ketiadaan pelancong mendorong kepulangan haiwan marin itu.

Sarang penetasan penyu itu dikesan pada bulan November oleh saintis. Dalam masa kira-kira dua bulan, 100 biji telur akan menetas dan anak-anak penyu akan kembali ke laut, dipandukan oleh cahaya bulan.

Semasa pra-pandemik, jutaan pelancong berpusu-pusu ke pantai di selatan Thailand, dibawa ke pulau-pulau itu dengan bot pelancongan yang menghalang haiwan yang gelisah itu daripada menjelajah ke darat.

Tetapi dengan hampir 20 bulan sekatan perjalanan COVID-19 dilaksanakan, beberapa spesies penyu laut yang berbeza telah kembali bersarang di sekitar Phuket, destinasi pantai yang sangat popular sebelum pandemik itu.

Antara Oktober 2020 dan Februari 2021, 18 sarang penyu belimbing – yang boleh membesar sehingga 400 kilogram apabila dewasa dan merupakan spesies penyu terbesar – ditemui di Phuket.

Ahli biologi marin melihat penyu laut di dalam tangki di Pusat Biologi Marin Phuket. – AFP

Ahli biologi marin menyebarkan sirip penyu laut untuk di X-ray di Pusat Biologi Marin Phuket. – AFP

“Sarang haiwan tersebut telah bertambah baik dalam dua tahun lepas kerana ketiadaan pelancong, bunyi bising dan pencemaran cahaya,” pengarah Pusat Biologi Marin Phuket, Kongkiat Kittiwatanawong memberitahu AFP.

“Kami tidak pernah melihat angka sedemikian dalam 20 tahun.”

Walaupun peluang untuk hidup sangat rendah – kira-kira satu telur yang menetas daripada 1,000 akan mencapai usia dewasa – Kongkiat berkata peningkatan dalam sarang adalah petanda positif untuk usaha memelihara spesies terancam.

Sarang penyu laut ridley juga telah dikesan – kali pertama dalam dua dekad.

Spesies lain yang hidup di perairan hangat di sekitar Thailand termasuk penyu belimbing, penyu sisik, hijau dan penyu tempayan.

Tetapi apabila Thailand secara tentatif mula membuka semula sempadannya kepada pelancong antarabangsa yang telah divaksin sepenuhnya, para saintis telah meredakan keyakinan mereka.

“Pandemik mungkin menawarkan penyu laut rehat yang diperlukan,” kata Thon Thamrongnawasawat dari Universiti Kasetsart di Bangkok.

“Tetapi penyu hidup lama dan merupakan spesies yang sangat bermigrasi. Tanpa dasar yang berkesan untuk melindungi haiwan tersebut, kita tidak boleh mengharapkan banyak faedah jangka panjang kepada pemulihan populasi.”

Di Thailand – seperti di banyak negara lain – masa depan haiwan marin itu terancam oleh pemanasan global, yang membahayakan terumbu karang dan meningkatkan suhu perairan.

Keadaan yang lebih panas seterusnya boleh mengganggu populasi spesies penyu, di mana kajian telah menunjukkan bahawa pasir yang lebih panas di mana ia bersarang membawa kepada lebih banyak penyu betina berbanding jantan.

Pencemaran juga menjadi masalah.

Pada masa ini, plastik dan tali pancing yang dibuang kekal menjadi punca utama penyakit dan kematian kepada haiwan tersebut.

“Dalam 56 peratus daripada kes, penyu yang dibawa kepada kami telah termakan sisa buangan laut atau terperangkap di dalamnya,” kata Dr Patcharaporn Kaewong dari Pusat Biologi Marin Phuket.

Pada masa ini, 58 penyu sedang dirawat di sana. Ada yang memerlukan pembedahan, amputasi atau prostetik sebelum sebelum dilepaskan semula ke alam liar.

Pada masa ini, saintis dan pihak berkuasa tempatan berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk musim bersarang, yang berlangsung sehingga Februari.

Selepas penyu betina menyediakan sarang, pihak berkuasa akan bertindak pantas – sama ada memindahkannya ke tempat selamat jika terlalu dekat dengan air atau mengelilinginya dengan pagar buluh dan kamera keselamatan.

“Selepas menetas, kami menjaga penyu yang lemah sehingga ia cukup kuat untuk pergi ke laut,” kata Patcharaporn.

Beliau menambah bahawa mendidik orang ramai tentang pemuliharaan juga penting.

Sehingga beberapa dekad yang lalu, makan telur penyu adalah kebiasaan di Thailand, tetapi mengumpulnya telah diharamkan oleh kerajaan Thailand pada tahun 1982.

Memiliki atau menjual telur penyu belimbing secara haram kini boleh dihukum penjara tiga hingga 15 tahun dan boleh didenda sehingga AS$50 ribu.

Sesetengah NGO perlindungan marin juga memberi ganjaran kewangan kepada penduduk tempatan yang melaporkan sarang, manakala teknologi seperti cip mikro penyu juga memainkan peranan dalam pemantau jangka panjang.

“Terima kasih kepada pengesanan satelit, kami telah memerhatikan bahawa mereka boleh berhijrah lebih jauh daripada yang kami sangkakan,” kata Kongkiat, sambil menambah bahawa ada yang telah pergi sejauh Australia. – AFP