Penyuntik semangat buat Street United FT

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Kelab futsal tempatan Street United FT mendapat suntikan semangat untuk terus melangkah ke hadapan dalam arena futsal selepas mendapat tajaan jersi pada majlis penandatanganan antara kelab berkenaan dengan Kaka Restaurant & Catering Services di cawangannya di Sungai Tilong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penandatanganan tersebut ialah pemilik restoran berkenaan, Haji Samir bin Haji Kassim. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Street United FT, Mohd Isra bin Haji Abdul Jalil.

Sementara itu, pengarah Street United FT, Mohamed Hariswandy bin Osman dalam ucapannya pada majlis tersebut mengucapkan terima kasih kepada Haji Samir kerana memberi tajaan sepenuhnya untuk pasukan tersebut bagi menyertai Liga Futsal Brunei yang akan datang dan kejohanan futsal domestik atau luar negara.

Dalam kesempatan itu, Mohamed Hariswandy juga menyeru kepada anggota pengurusan, jurulatih dan pemain untuk menjalankan tugas mereka dengan bertanggungjawab untuk menjaga nama baik kelab serta lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan dan undang-undang pasukan.

Tajaan jersi baharu berwarna ungu, hitam dan kuning itu dilengkapi dengan logo restoran dan kelab berkenaan.

Pemain dan anggota pengurusan Street United FT dan pihak penaja ketika sesi bergambar ramai.