Penyusuan susu ibu mampu kurangkan jejak karbon

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif di Negara Brunei Darussalam telah meningkat dari setahun ke setahun daripada 35 peratus bagi enam bulan pertama 2012 kepada 47 peratus pada 2019 (bagi tempoh April hingga September).

Ini menunjukkan peningkatan yang sangat menggalakkan dan juga adalah melebihi daripada kenaikan yang dianggarkan iaitu 45 peratus bagi tahun 2019-2020.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara berkenaan dalam perutusannya sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang disambut 1 hingga 7 Ogos.

Yang Berhormat Dato berkata, pe- ningkatan berkenaan adalah hasil daripada langkah-langkah yang dilaksanakan dalam menggalakkan, menyokong dan melindungi amalan penyusuan susu ibu.

Ini termasuk Penguatkuasaan Peraturan Cuti Beranak 2011 yang telah dilaksanakan sejak 1 Januari 2011 yang mana tempoh cuti beranak dipanjangkan daripada 56 hari kepada 105 hari bagi warga ibu yang bekerja dalam perkhidmatan awam dan turut dilaratkan kepada ibu-ibu yang bekerja di sektor swasta.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam perutusannya menekankan bahawa amalan penyusuan susu ibu boleh mengurangkan jejak karbon dan ekologi. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

Sementara itu, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan juga telah memberikan latihan yang berterusan kepada pekerja kesihatan profesional mengenai penyusuan susu ibu bagi membolehkan mereka memberikan sokongan kepada ibu-ibu di negara ini. Dengan inisiatif ini, ibu-ibu terutamanya mereka yang baru melahirkan boleh mendapat akses kepada kaunseling penyusuan susu ibu dengan segera.

Di samping itu, Negara Brunei Darussalam juga telah membuat pelaksanaan dan pemantauan Kod Pemasaran Antarabangsa Pengganti Susu Ibu (International Code of Marketing of Breastmilk Substitutes) pada tahun 2019.

Menyentuh mengenai tema Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia iaitu ‘Menyokong Penyusuan Susu Ibu untuk Planet yang Lebih Sihat’, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata, ia adalah untuk menarik perhatian mengenai hubungan antara penyusuan susu ibu dan impaknya terhadap perubahan persekitaran serta perubahan iklim.

Ia juga bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada penyusuan ibu sebagai satu pilihan yang pintar iklim serta menghasilkan tindakan-tindakan bagi meningkatkan kesihatan planet dan manusia melalui penyusuan susu ibu.

Yang Berhormat Dato menekankan, perubahan iklim dan kemerosotan persekitaran adalah beberapa cabaran yang dihadapi dunia pada masa ini. Setiap individu mempunyai peranan untuk melakukan sesuatu bagi mengurangkan jejak karbon dan jejak ekologi mereka.

Ini termasuklah cara kita memberi pemakanan kepada anak-anak damit. Amalan penyusuan susu ibu boleh mengurangkan impak serta kesan terhadap persekitaran kerana ia tidak memerlukan proses pembungkusan, pengedaran dan penyediaan yang lazimnya berlaku dalam produksi pemakanan pengganti susu untuk anak damit.

Selain itu, pemberian penyusuan ibu hanya memerlukan ibu untuk mengambil makanan tambahan sahaja dengan menggunakan sumber semula jadi yang sedikit serta tidak mengakibatkan banyak pembaziran. Manakala proses penyusuan susu ibu khususnya secara langsung dan perahan susu ibu juga adalah lebih efisien dari segi pengurangan sisa, penjimatan tenaga dan sumber-sumber lain.

Di samping itu, tambah beliau, dengan meningkatkan amalan penyusuan susu ibu secara optimum juga dapat mencegah lebih 823,000 kematian kanak-kanak dan 20,000 kematian ibu di seluruh dunia setiap tahun.

Oleh itu, semua ibu bapa harus disokong untuk membuat pilihan pemakanan yang sihat bagi anak damit mereka, termasuk penyusuan susu ibu.

“Marilah kita berusaha untuk mewujudkan dan memperkuatkan lagi persekitaran yang sesuai untuk penyusuan susu ibu,” seru beliau.