Penyusun draf perlu sediakan kitab rujukan terpilih

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, kelmarin, telah membuat perjumpaan bersama Urus Setia Projek Penyusunan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya di Bilik Masyaikh, Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Dalam perjumpaan tersebut, Yang Berhormat Pehin berkesempatan memberikan kata-kata nasihat kepada kumpulan penyusun draf iaitu penyusun draf berkontrak yang terdiri daripada graduan-graduan Universiti Al-Azhar.

Kumpulan penyusun draf berkenaan bertanggungjawab dalam menyusun draf dengan menyediakan rujukan daripada kitab-kitab rujukan yang terpilih. Projek Penyusunan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya mula diusahakan oleh KHEU sejak 2007 dan sedang diusahakan dengan lebih fokus serta teratur setelah selesai penerbitan Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya pada 2014.

Perjumpaan bersama urus setia projek telah diisikan dengan sesi taklimat dan perbincangan yang disampaikan oleh Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Taklimat antara lain mengongsikan perkembangan baik dan status terkini peringkat-peringkat proses pelaksanaan projek yang mengandungi Peringkat Penyusun Draf; Peringkat Perbincangan Draf; Peringkat Sidang Redaksi; Peringkat Krop Ayat Dan Paipset; Peringkat Persidangan Masyaikh; Peringkat Penyemakan Agensi-Agensi Penyemak dan Peringkat Pencetakan.

Beberapa cadangan penambahbaikan telah diusulkan bagi penambahbaikan dalam sesi perbincangan dengan harapan agar projek itu akan berjalan dengan lancar sehingga ia akan dapat diterbitkan dan mencapai tujuan penerbitannya dalam tempoh yang dijadualkan.

Majlis perjumpaan telah diakhiri dengan sesi lawatan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama ke pejabat urus setia di Bangunan Darul Huda, PDI.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika dalam perjumpaan bersama Urus Setia Projek Penyusunan Mushaf Brunei Darussalam di Bilik Masyaikh, Bangunan Darul Huda, PDI, KHEU.