BOURNEMOUTH, 14 Feb – Pep Guardiola menolak untuk bercakap mengenai peluang pasukannya merangkul kejuaraan Liga Perdana meskipun tiga kemenangan telah melonjakkan Manchester City kepada lapan mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.
Kemenangan 2-0 di Bournemouth awal pagi tadi telah menyaksikan City memintas tiga pasukan dan berada di tangga kedua selepas satu jaringan di setiap separuh masa sudah cukup menundukkan Bournemouth di Stadium Vitality.
Tetapi Guardiola menyatakan bahawa dia tidak dapat membayangkan Chelsea membuat kesilapan besar dan tercicir dalam baki 13 perlawanan musim ini.
“Ia begitu sukar kerana mereka perlu tewas tiga perlawanan dan anda perlu memenangi semua perlawanan. Anda pasti tahu bagaimana sukarnya memenangi semua perlawanan dalam Liga Perdana,” kata Guardiola.
“Kini sebelum perlawanan kami berada di tangga keenam dan selepas perlawanan kami berada di tangga kedua.

“Itu bermakna jurang antara pasukan-pasukan tidak jauh berbeza. Tetapi dengan Chelsea, jurang masih besar. Lapan mata adalah sangat banyak.”
Keputusan perlawanan di tempat lawan itu merupakan antara persembahan baik dari City, yang menguasai perlawanan dan bahaya dalam serangan balas.
“Saya begitu gembira dengan keputusan itu,” kata Guardiola.
“Kami bermain dengan sangat baik dalam semua aspek, terutamanya dalam 10-15 minit terakhir. Kami menghasilkan banyak hantaran. Kami memonopoli bola. Kami mengawal perlawanan dengan hantaran. Ia cara yang baik untuk mengelakkan pasukan lawan.”
“Sejak perlawanan menentang Arsenal, saya fikir dia (Sane) telah menunjukkan kebolehannya. Dia sangat pantas, intensitinya telah banyak membantu kami dan dengan usianya masih 20 tahun, saya gembira bagi Manchester City kerana kami akan mempunyai pemain terbaik selama beberapa tahun akan datang,” kata Guardiola mengenai bekas pemain Schalke itu. – AFP