LONDON, 31 Mac – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui terkejut melihat juara bertahan itu mudah menewaskan Fulham 2-0 di Craven Cottage untuk merampas tangga teratas Liga Perdana Inggeris.
City kini sudah menang 12 perlawanan dalam semua kejohanan, tetapi rentak mereka selepas mengharungi rehat antarabangsa selama dua minggu tampak tidak terganggu dengan jaringan menerusi Bernardo Silva dan Sergio Aguero selepas 27 minit aksi berlangsung.
“Ia merupakan perlawanan yang sedikit sukar. Rehat antarabangsa, bermula pada 12:30 tengah hari hari yang cerah dan bukannya kebiasaan,” kata Guardiola.
“Cara kami memulakan aksi sangat menakjubkan. Mereka mengejutkan saya sekali lagi, 15 ke 20 minit pertama sangat memberangsangkan.
“Selepas itu permainan agak terkawal, mereka tidak mendapat peluang yang benar-benar terbuka. Selepas gol kedua perlawanan di bawah kawalan.”
Skuad kendalian Guardiola kini memiliki kelebihan satu mata di atas Liverpool dengan berbaki tujuh perlawanan tetapi skuad kendalian Jurgen Klopp boleh merampas kembali kedudukan jika menang ke atas Tottenham, esok.
“Kami perlu menang semua perlawanan jika mahu menjadi juara. Kami berdepan lawan yang sukar, tetapi itulah cabarannya,” kata Guardiola.
Berbeza dengan City, Fulham ketika ini kekal dibezakan dengan 13 mata daripada zon selamat untuk menghuni tangga ke-19 liga selain gagal melakukan sebarang cubaan tepat ke gawang buat pertama kali sepanjang sembilan tahun beraksi di gelanggang sendiri.
“Kami perlu realistik,” kata pengurus sementara Fulham, Scott Parker. “Fokus utama bagi enam perlawanan terakhir ialah terus berusaha sehingga penghujung musim.” – AFP





























