Pep tetap rendah diri

SWANSEA, 15 Mac – Pep Guardiola tetap merendah diri mengenai peluang Manchester City merangkul empat trofi musim ini tetapi skuad kendaliannya yang dijadual menentang Swansea di suku akhir Piala FA hanya memerlukan 16 lagi kemenangan untuk meraih semua gelaran.

City menghampiri rekod untuk merangkul semua kejuaraan utama yang ditawarkan musim ini apabila mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan membelasah kelab Jerman, Schalke 7-0 pada aksi kedua peringkat 16 terbaik, semalam. Kelab Inggeris itu sudah pun menjuarai Piala Liga dengan menewaskan Chelsea, bulan lalu tetapi ia belum cukup untuk memuaskan hati Guardiola yang mahukan lebih kegemilangan.

Kemenangan ke atas kelab divisyen dua, Swansea menyaksikan City mara ke separuh akhir Piala FA tatkala pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris kian hangat. Penyandang juara itu hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan tangga kedua, Liverpool dan sekali pun kedudukan di puncak liga boleh dicantas jika Reds menang ke atas Fulham, Ahad ini mereka tetap mempunyai kelebihan beraksi kurang satu perlawanan.

Dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap pemainnya, Guardiola cuba untuk meredakan laporan mengenai peluang City menjuarai empat gelaran, kejayaan yang belum pernah dicapai pasukan Inggeris sebelum ini.

“Banyak kali saya katakan, dan saya tahu betapa murahnya hati kami dan disebabkan itu saya berterima kasih kepada kamu semua,tetapi setiap kali anda mengeluarkan komen itu, kami tewas dalam kejohanan, jadi saya fikir anda melakukan provokasi terhadap saya dengan cara seperti itu dan kita akan lihat apa yang berlaku nanti,” kata Guardiola secara berjenaka ketika menjawab soalan mengenai prospek pasukannya menjulang empat kejuaraan.

Swansea yang ketika ini menghuni kelompok pertengahan Liga Kejuaraan dijangka tidak memberi ancaman besar terhadap City tetapi laluan kelab itu berikutnya dijangka sukar. Semasa mengendalikan Barcelona, Guardiola berjaya menerajui kelab Catalan itu meraih tiga kejuaraan pada musim 2008-09 tetapi pengendali kelahiran Sepanyol itu bijak menyembunyikan hasrat terpendamnya. – AFP

Pep Guardiola tetap merendah diri mengenai peluang Manchester City merangkul empat trofi musim ini. – AFP