Peperiksaan IGCSE, BG GCE dibatalkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Berikutan dengan penularan jangkitan COVID-19, Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa pihak Cambridge Assessment International Education (CAIE) telah mengambil keputusan untuk tidak mengendalikan semua peperiksaan antarabangsa bagi sesi Mei/Jun 2020.

Kementerian berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, berkata bahawa langkah tersebut diambil bagi mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar serta guru-guru dan orang awam amnya.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa bagi Negara Brunei Darussalam, peperiksaan-peperiksaan yang tidak akan dikendalikan adalah Brunei Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), Brunei Cambridge General Certificate of Education (BC GCE) ‘O’, ‘AS’ dan ‘A’ Level yang telah dijadualkan untuk bermula pada April sehingga Jun 2020.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan sedang bekerjasama dengan pihak CAIE untuk memastikan kesinambungan pembelajaran pelajar-pelajar tidak akan terjejas dengan mewujudkan satu penilaian alternatif.

Kementerian Pendidikan akan memaklumkan mengenai langkah-langkah dan tindakan-tindakan seterusnya apabila perkara ini selesai dibincangkan bersama dengan pihak CAIE.
Kenyataan menyatakan bahawa orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi talian pertanyaan Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan melalui 2380630 pada waktu bekerja dan e-mel exam.dept@moe.gov.bn atau jbtpeperiksaan.helpdesk@moe.gov.bn.