Peperiksaan PSR 2021 dilaksana secara SAM

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bagi 2021 yang dijadualkan bermula 15 November depan, akan dilaksanakan secara kaedah alternatif iaitu School Assessed Marks (SAM).

Perkara itu telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Beliau menyatakan bahawa pada 2021, seramai 6,151 orang pelajar Tahun 6 dijangka akan mengikuti Peperiksaan PSR.

“Bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan para pelajar serta tenaga pengajar Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan sekolah-sekolah swasta, pihak Kementerian Pendidikan telah membuat penilaian secara menyeluruh dengan mengadakan penilaian risiko dan mengadakan kaji selidik kepada para ibu bapa dan penjaga pelajar serta para guru Tahun 6 dalam mengendalikan peperiksaan ini dengan mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan para pelajar serta tenaga pengajar yang terlibat,” jelasnya lagi.

Beliau seterusnya menerangkan bahawa kaedah SAM merangkumi markah pelajar-pelajar sepanjang 2021 yang dicatat melalui Penilaian Kendalian Sekolah (School Based Assesment).

“Pihak sekolah akan menyediakan portfolio untuk setiap pelajar. Portfolio berkenaan mestilah mengandungi dua jenis substantial work pelajar,” jelasnya.

Beliau menerangkan bahawa jenis-jenis substantial work berkenaan ialah penilaian, ujian atau peperiksaan menggunakan kertas soalan peperiksaan lalu yang lengkap mengikut jumlah komponen mata pelajar, kombinasi soalan-soalan yang diambil dari kertas peperiksaan yang lalu mengikut format kertas soalan PSR yang lalu, kertas soalan ujian kelayakan dan kombinasi kertas soalan topical test.

Yang Berhormat Dato seterusnya berkata bahawa pemilihan tugasan yang akan dimasukkan dalam portfolio itu adalah tertakluk kepada ketetapan pihak sekolah masing-masing.

“Pihak Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan, Jabatan Sekolah-sekolah dan Jabatan Pendidikan Swasta bersama pihak KHEU melalui Jabatan Pengajian Islam akan menyelaraskan pemberigaan dan perincian pelaksanaan SAM ini dengan pihak sekolah, guru-guru yang berkenaan dan juga ibu bapa serta penjaga pelajar.

“Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan akan memastikan nilai dan integriti penilaian SAM ini adalah adil, sah dan saksama di mana penilaian SAM akan melalui proses jaminan kualiti,” tegas Yang Berhormat Dato lagi.

Ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan, mereka boleh berhubung terus kepada sekolah masing-masing atau menghubungi Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan di talian 2380630 atau 2380776 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel, [email protected] atau [email protected]