Peraduan menterjemah sempena Bulan Bahasa 2020

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Sempena Sambutan Bulan Bahasa 2020, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBP) akan mengadakan Peraduan Menterjemah Mutiara Kata.

Peraduan ini merupakan kesinambungan daripada Bengkel Penterjemahan: Menterjemah Mutiara Kata yang dilaksanakan sempena Pesta Buku Brunei 2020.

Peraduan penterjemahan kali ini menyasarkan para pelajar dan belia di negara ini bagi mencetuskan minat mereka terhadap dunia penterjemahan.

Fokus peraduan kali ini ialah mutiara kata dalam Bahasa Melayu yang perlu diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris dan mutiara kata dalam Bahasa Inggeris yang perlu diterjemahkan dalam Bahasa Melayu. Dua set senarai mutiara kata disediakan oleh pihak penganjur iaitu Set A mutiara kata Bahasa Melayu, Set B mutiara kata Bahasa Inggeris. Setiap set mengandungi 10 mutiara kata.

Peserta hanya perlu memilih 10 mutiara kata, iaitu lima daripada Set A dan lima daripada Set B.

Pada dasarnya, menterjemah mutiara kata perlu me-nerapkan salah satu daripada pendekatan tidak langsung penterjemahan, iaitu komunikatif, dinamik, bebas atau idiomatik.

Lazimnya, mutiara kata mempunyai makna yang tersirat dan padat dengan makna.

Objektif pertandingan ialah untuk menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa 2020, memberikan pendedahan kepada para pelajar dan golongan belia tentang bidang penterjemahan, memupuk minat para pelajar dan belia supaya bersiap sedia meneroka pelbagai bidang ilmu menerusi penterjemahan. Ini kerana kebanyakan sumber ilmu adalah dalam bahasa asing, khususnya Bahasa Inggeris, sekali gus mencetuskan sifat ingin tahu yang positif dalam diri pelajar dan belia, yang secara tidak langsung boleh mendorong mereka untuk melazimkan budaya belajar sepanjang hayat, memupuk budaya membaca dan mengongsikan pengetahuan yang diraih dengan masyarakat melalui penterjemahan serta melahirkan lebih ramai pelapis penterjemah negara.

Syarat-syarat penyertaan pertandingan berkenaan ialah nama penulis dan nama pena (jika ada), nombor kad pengenalan dan alamat penuh tidak boleh ditaip dalam kertas penyertaan tetapi hendaklah ditulis dalam borang peraduan. Borang yang lengkap diisi, dan teks terjemahan yang siap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat bersaiz A4 yang ditutup rapat dan dihantar kepada: Urus Setia Peraduan Menterjemah Mutiara Kata Unit Penterjemahan Tingkat 3, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Pembangunan Lapangan Terbang Lama, Berakas, BB3510.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada hari Sabtu, 21 Syawal 1441/13 Jun 2020 jam 4 petang.
Majlis penyampaian hadiah akan dilaksanakan semasa Sambutan Bulan Bahasa 2020 dimana tarikh akan dimaklumkan kemudian.

Para pemenang berpeluang memenangi hadiah wang tunai yang mana juara bagi pertandingan berkenaan akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $300, naib juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak $200, tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai sebanyak $100 dan tiga orang lagi akan membawa pulang hadiah sagu hati berupa wang tunai sebanyak $75.