Peraduan Menulis Novel sempena Bulan Bahasa 2021

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah akan mengungkayahkan Peraduan Menulis Novel sempena Sambutan Bulan Bahasa 2021.

Peraduan Menulis Novel diadakan sejak tahun 1986 lagi dan sehingga kini sembilan peraduan menulis novel telah berjaya diungkayahkan.

Sehubungan itu, syarat-syarat penyertaan dan peraduan ialah hendaklah terdiri dari rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur 18 tahun ke atas. Pegawai dan kakitangan DBP dibenarkan menyertai peraduan kecuali ahli Jawatankuasa Penyelenggara Peraduan Menulis Novel.

Manakala tema, persoa-lan dan falsafah hendaklah mengarah kepada konsep Melayu Islam Beraja. Penulisan novel hendaklah mampu memperlihatkan sesuatu pemikiran atau falsafah baharu sama ada dari segi teknik, gaya, aliran, tema dan nilai-nilai ekstrinsik dan intrinsik karya tersebut.

Penulisan novel hendaklah sesuai dan menepati ciri-ciri sebuah novel sebagai karya seni sastera dan ditulis dalam Bahasa Melayu dengan menggunakan sistem ejaan rumi baharu.

Maklumat penuh mengenai peraduan orang ramai bolehlah melayari Instagram, dbpbrunei atau Facebook Bahagian Sastera dan Majalah.

Tarikh penghantaran borang dan manuskrip novel peraduan hendaklah dihantar kepada setiausaha peraduan sebelum atau pada hari Rabu, 31 Ogos 2022, pukul 4 petang. Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan Urus Setia Peraduan Menulis Novel, 2021, Bahagian Sastera dan Majalah DBP, Lapangan Terbang Lama, Berakas, BB 3510, Negara Brunei Darussalam di talian 2382511.