Peraduan menulis rencana umum kini dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaklumkan bahawa Peraduan Menulis Rencana Umum Beriga 2019-2020 kini sedang dibukakan kepada warga dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur 17 tahun ke atas.

Borang peraduan boleh didapati dalam Jurnal Beriga keluaran Julai-Disember 2019 dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 31 Mac 2020 pukul 4 petang.

Peraduan memfokuskan kepada penulisan rencana dan kajian penyelidikan tenteng keagamaan, pendidikan, budaya, nasionalisme, kemasyarakatan, kebeliaan, kemerdekaan, ekonomi, dunia info telekomunikasi dan hal-hal lain yang boleh mendukung kepada Wawasan Brunei 2035.

Diadakan sejak 1984, peraduan berkenaan telah banyak melahirkan penulisan hasil daripada pelbagai penyelidikan yang telah diterbitkan dalam Jurnal Beriga.

Ia merupakan platform untuk menghasilkan rencana umum berbentuk ilmiah yang berkualiti dan seterusnya mampu mempertingkatkan kualiti Jurnal Beriga sebagai sumber rujukan dan bacaan baik di peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa.