Perahu bergelap seludup nuget, sosej

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Seorang lelaki tempatan ditahan oleh
keanggotaan peronda sungai Polis Marin Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa menjalankan rondaan di kawasan perairan Tanjung Semesta kerana dipercayai cuba membawa masuk barang tegahan pada kejadian yang berlaku pada 6 Mei.

Sebelum tertangkapnya lelaki berkenaan, polis peronda sungai membuat rondaan di kawasan perairan Sungai Brunei dan telah menemukan sebuah perahu dalam keadaan bergelap tanpa lampu dan kelihatan mencurigakan.

Sebaik suspek menyedari kehadiran polis peronda, pemandu perahu tersebut terus memecut laju sehingga berlaku insiden kejar-mengejar.

Perahu yang mencurigakan itu akhirnya berjaya ditahan bersama pemandunya dan hasil daripada pemeriksaan telah menemukan dua paket Ayamas Nuget dan 20 sosej paket jenama Wise Choice dipercayai dibawa masuk secara seludup dan tidak sah.

Siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 51 tahun dan kes tersebut telah pun diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, PPDB akan meningkatkan kekerapan rondaan dan melakukan pemeriksaan rambang di kawasan kawalan bagi memastikan negara bebas daripada jenayah rentas sempadan.

Di samping itu, PPDB juga mengingatkan kepada masyarakat agar memainkan peranan sewajarnya sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan tampil atau
mengongsikan membuat laporan jika mengesan aktiviti dan individu yang mencurigakan di kawasan mereka.

Polis Marin PPDB berjaya menahan pengemudi perahu yang disyaki menyeludup barang tegahan. – Gambar serahan PPDB