Perairan negara bebas daripada air kemerah-merahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Orang ramai, dinasihatkan untuk tidak memakan mana-mana jenis kerang-kerangan dan ikan-ikan kecil yang tidak dapat dibuang insang, perut dan organ-organ dalamannya dari kawasan yang terjejas atau tidak diketahui tempat asalnya.

Pada masa yang sama, orang ramai juga diingatkan untuk membuang semua insang, perut dan organ-organ dalaman ikan sebelum dimasak. Nasihat dan peringatan itu dibuat oleh Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, di mana jabatan berkenaan memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat yang telah diterima daripada Jabatan Perikanan Sabah bahawa air kemerah-merahan telah dikesan di kawasan Kampung Binsuluk, Membakut, Sabah.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa hasil daripada pemantauan air kemerah-merahan yang telah dibuat oleh Jabatan Perikanan, KSSUP di perairan Negara Brunei Darussalam mendapati bahawa perairan negara adalah bebas daripada kejadian air kemerah-merahan.

Jabatan Perikanan akan terus membuat pemantauan kejadian air kemerah-merahan di negara ini dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai keadaan terkini dari semasa ke semasa.

Orang ramai terutama para nelayan diseru untuk membantu Jabatan Perikanan dalam mengesan kejadian air kemerah-merahan di perairan negara ini dengan melaporkan sebarang kejadian perubahan warna air dan jika menjumpai sebarang kejadian ikan mati dalam jumlah yang banyak di mana-mana kawasan perairan dan pantai-pantai di negara ini, melalui talian 2770066 pada waktu bekerja dan di talian hotline Jabatan Perikanan, 7297771.