Perairan Sampadi-Tanjung Datu bakal jadi tarikan pelancongan baharu Sarawak

SEMATAN, SARAWAK, 26 OKT – Perairan Sampadi-Tanjung Datu di sini mampu menjadi kawasan tarikan pelancong menerusi peletakan 1,100 unit tukun tiruan yang dapat melindungi dan memelihara hidupan laut di kawasan berkenaan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Katanya ia merupakan antara pelbagai inisiatif kerajaan Sarawak dalam usaha mengangkat kawasan yang terletak kira-kira 107 km dari bandar raya Kuching itu, untuk menjadi satu lagi pusat tarikan pelancongan negeri.

“Salah satu manfaatnya (peletakan tukun) ialah sektor eko-pelancongan yang boleh dibangunkan sekitar kawasan ini, seperti ‘sport fishing’ dan aktiviti selaman skuba,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran kerja-kerja melabuh tukun ‘reef ball’ di Kem Putra Sentosa, Sematan di sini. – Bernama