Perak terima 420 pelancong minggu pertama TMP 2017

IPOH, 1 Jan – Perak bakal menerima kedatangan 420 pelancong antarabangsa pada minggu pertama Tahun Melawat Perak (TMP) 2017, kata Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi. Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedianegeri ituberkata daripada jumlah tersebut, 300 pelancong menaiki kapal mewah, Seabourn Sojourn Cruise yang akan singgah ke Lumut sebelum berkunjung ke Kellie’s Castle, Gua Tempurung dan Kuala Sepetang.

“Selain itu, 80 pelancong menggunakan perkhidmatan tren Eastern & Oriental Express ke sini serta 40 pelancong menggunakan Australia Explorer Cruise yang terus ke Pulau Pangkor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan risalah sempena TMP 2017 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini hari ini.

Nolee Ashilin berkata sasaran untuk mencapai 500,000 pelancong antarabangsake Perak diyakini tercapai berdasarkan jumlah kedatangan pelancong yang memberangsangkan pada minggu pertama ini. “Kita menerima sekitar 300,000 hingga 400,00 pelancong antarabangsa pada setiap tahun. Jadi, kita harapkan tahun ini dapat mencapai sasaran 500,000 pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Perak 2017,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pelancong yang menggunakan perkhidmatan penerbangan ke negeri tersebut juga meningkat kepada 242,624 orang tahun lalu berbanding 222,606 pada 2015.

Daripada jumlah itu, seramai 194,471 penumpang merupakan pelancong antarabangsa manakala 48,153 adalah penumpang domestik, katanya.

Mengenai kemudahan pengangkutan sempena TMP 2017, Nolee Ashilin berkata pihaknya sentiasa memperbaiki kemudahan awam khususnya di LTSAS dan Stesen Keretapi Ipoh. “Selain itu, kita juga membuka kaunter penerangan di Stesen Keretapi Ipoh bagi memudahkan pelancong mengakses maklumat destinasi yang ingin mereka kunjungi,” katanya. – Bernama