Peralatan perubatan bernilai lebih RM600,000 dirampas

BANGKOK, 3 MEI – Pihak berkuasa Thailand merampas peralatan perubatan bernilai lima juta baht (RM665,630) dalam satu serbuan kelmarin dan menahan seorang suspek.

Agensi berita Xinhua melaporkan pegawai Jabatan Siasatan Khas (DSI), anggota polis dan pegawai Jabatan Perdagangan Dalam Negeri Kementerian Perdagangan dan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) menyerbu sebuah bangunan dua tingkat dan menemui peralatan perubatan disenarai di bawah barangan kawalan harga.

Antara barangan yang dirampas ialah penutup hidung dan mulut, pensanitasi tangan serta kelengkapan perlindungan diri (PPE), kata DSI dalam satu sidang akhbar di Bangkok.

Sejak Februari, susulan penularan wabak COVID-19, kerajaan Thailand menyenaraikan penutup hidung dan mulut serta pensanitasi tangan sebagai barangan yang dikawal harga. Jabatan Perdagangan Dalam Negeri berkata sejak wabak melanda beberapa produk perubatan didapati tidak memenuhi peraturan Akta Peranti Perubatan dan Akta Kosmetik. – Bernama