JOHOR BAHRU, 20 MAC – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah merancang pelbagai strategi dan mekanisme bagi membantu operasi banjir, khususnya di kawasan terjejas teruk susulan peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga Mei depan.
Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata perkara itu sudahpun dibincangkan di peringkat jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah, supaya segala atur gerak kerja berjalan dengan lancar.
“Kita sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi peralihan monsun ini. Sistem dan mekanismenya pun sudah ada. Untuk atur gerak di peringkat awal (tumpuan) di kawasan-kawasan yang terjejas, dan seterusnya menghantar aset-aset ke tempat-tempat yang dijangka berisiko tingg,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Eksesais Semangat Bersatu Siri 26/2022 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) di Padang Kawad Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Latihan dan Doktrin TDS Brigedier Jeneral Andrew Lim Heng Tiew. – Bernama