Peralihan monsun cetus cuaca panas, ribut petir

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Negara Brunei Darussalam pada masa ini sedang berada dalam musim peralihan monsun yang lazimnya negara akan mengalami keadaan cuaca panas pada waktu siang dan tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah pada waktu pagi manakala pembentukan awan ribut petir berlaku pada waktu petang.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan hari ini menjelaskan, ribut petir kebanyakannya akan berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam hingga awal pagi.

Musim peralihan monsun ini turut dijangka akan berterusan sehingga hujung Mei atau awal bulan Jun.

Secara am pada jam 11 pagi waktu tempatan hari ini, Lekukan Tropika berada di koordinat 10.3°N 128.7°E, kawasan Tenggara Filipina, sekitar 1,700km jauh dari Negara Brunei Darussalam.

Lekukan tropika tersebut dijangka bergerak ke utara menjauhi Brunei dan dijangka tidak akan menjejaskan keadaan cuaca di negara ini.

Rajah dari Pusat Amaran Taufan Bersama (JTWC) Hawaii AS menunjukkan ramalan lokasi dan trek lekukan tropika yang dijangka tidak akan menjejaskan keadaan cuaca negara. – Rajah serahan BDMD

Keadaan cuaca tidak menentu turut diramalkan berlaku pada minggu ini dengan hujan lebat sekali-sekala atau hujan berpetir menjejaskan kebanyakan kawasan di negara ini.

Walau bagaimanapun, cuaca baik sekali-sekala juga dijangka berlaku pada waktu siang dan keadaan cuaca akan lebih aktif turut diramal akan berlaku pada waktu petang dan malam pada 12, 14 dan 16 Mei ini.

Sementara itu, keadaan laut di perairan Brunei dijangka akan berada di bawah paras 0.8 meter sepanjang minggu ini.

Sehubungan itu, semasa keadaan hujan lebat atau hujan berpetir ini, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir.

Orang ramai, pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dengan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kenyataan menyatakan, pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Di samping itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi mudah alih Brunei WX.

Orang awam juga dapat menghubungi pegawai peramal kaji cuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.