Peranan bomba dan penyelamat dihargai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Tugas dan tanggungjawab anggota bomba yang mencurahkan khidmat bakti demi kemaslahatan masyarakat awam disentuh dalam Tazkirah Subuh bertajuk ‘Peranan Bomba dalam Masyarakat’ sempena acara Larian Bomba 2019 dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di ibu negara hari ini.

Tazkirah disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Ugama Jerudong, Haji Muhammad Said bin Haji Mustappa turut menekankan bahawa JBP sememangnya amat rapat dengan masyarakat atas sumbangan mereka melaksanakan pelbagai tugasan.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon, juga selaku penghulu Mukim Berakas ‘B’, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

Menurut Haji Muhammad Said lagi, tugas bomba dan penyelamat bukan hanya memadam kebakaran malah membantu mangsa dalam kejadian bencana alam antaranya banjir, tanah runtuh serta menyelamatkan mangsa-mangsa lemas.

“Inilah realiti tugasan dan tanggungjawab anggota bomba yang banyak berkorban demi keselamatan semua,” tambahnya.

Tazkirah Subuh daripada Program Masjidku Makmur Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien minggu ini dikendalikan bersama oleh KHEU dan JBP, KHEDN dan disokong oleh JPM.

Yang Berhormat Menteri di JPM, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi serta para jemaah semasa mendengarkan tazkirah Subuh.