Peranan ICRC tangani isu masyarakat global

Oleh Nurdiyanah R.

Menangani isu kemanusiaan dan menerapkan nilai-nilai keamanan dalam kehidupan seharian adalah menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat global tanpa mengira warna kulit, agama atau kewarganegaraan. Justeru, bersatu membanteras dan sekali gus meringankan konflik ancaman kemanusiaan itu perlu disemai dalam diri setiap individu sehingga mampu melahirkan insan-insan yang bermoral tinggi serta memiliki hati dan jiwa yang sentiasa menghargai erti kehidupan yang hakiki.

“Bersama menghormati kehidupan dan berjuang memartabatkan maruah manusia, itulah antara prinsip yang kami perjuangkan dalam meningkatkan kesedaran kepada seluruh lapisan masyarakat betapa pentingnya nilai toleransi dan perpaduan dalam menangani isu kemanusiaan di dunia ini yang bukan hanya ketika dalam menghadapi situasi kecemasan bahkan juga apabila dalam suasana persekitaran yang aman damai,” itulah antara kata-kata yang diungkapkan oleh Shaun Kang selaku Penasihat Undang-undang, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa atau The International Committee of the Red Cross (ICRC) Kuala Lumpur, Malaysia ketika ditemui penulis semasa berlangsungnya Kursus Media dan Undang-undang bertempat di Malaysian Press Institute (MPI), Cyberjaya, Kuala Lumpur, Malaysia baru-baru ini.

Pencetus sinar harapan bantuan global

ICRC selaku salah sebuah pertubuhan institusi kemanusiaan yang berpusat di Geneva, Switzerland telah ditubuhkan pada tahun 1863 beroperasi di seluruh dunia dalam melindungi mangsa-mangsa dalam konflik dan keganasan bersenjata serta menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang mengalami bencana dan kesulitan.

Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan bebas dan neutral, ICRC telah diberikan kuasa mandat menerusi Geneva Convention pada tahun 1949 dan juga Protokol-protokol Tambahan yang mana ia juga berhubung kait dengan Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa dan resolusi Konferensi Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

Kini organisasi ini memiliki sekitar 16,000 orang pegawai dan kakitangan meliputi lebih dari 80 buah negara. Dengan adanya organisasi ini, ia bagaikan pencetus sinar harapan kepada mereka yang terlibat dalam ancaman-ancaman tertentu sesuai dengan salah satu misinya semata-mata untuk melindungi kehidupan dan martabat manusia atau mangsa seperti konflik bersenjata, keganasan dan bencana dengan menyalurkan bantuan-bantuan tertentu. Adapun ICRC ini memiliki belanjawan berteraskan sumbangan sukarela antaranya daripada pihak kerajaan dan juga Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Negara.

Antara aktiviti bantuan isu kemanusiaan yang dilaksanakan oleh ICRC. – Gambar ICRC Kuala Lumpur
Senyuman terukir indah penuh keikhlasan jelas terlihat pada wajah-wajah mangsa yang mengalami isu-isu ancaman kemanusiaan di Iraq semasa menerima bantuan daripada ICRC. – Gambar ICRC Kuala Lumpur

Demi sebuah kegembiraan

Dalam pada itu, Shaun turut menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab besar ICRC untuk tetap berjuang dalam menyumbang bantuan kepada masyarakat yang menghadapi ancaman kehidupan di seluruh dunia amnya.

“Bukan hanya bantuan berbentuk kewangan semata-mata, bahkan antaranya merangkumi bantuan kecemasan kepada mereka yang mengalami kecederaan antaranya kepada mangsa peperangan, gempa bumi, banjir dan sebagainya yang berlaku di seluruh dunia seperti pergolakan yang terjadi di Syria, Gaza, Iraq, Mali dan Myanmar, Selain itu, bantuan dalam mempertemukan hubungan kekeluargaan yang terpisah akibat impak berlakunya ancaman atau bencana tertentu juga menjadi salah satu misi kami untuk menyaksikan kegembiraan di hati dan jiwa mereka yang memerlukan bantuan,” ujar beliau dengan penuh harapan.

Bersama tingkat kesedaran IHL

Dalam menangani isu-isu semasa yang melibatkan ancaman kemanusiaan, Shaun turut menjelaskan bahawa ICRC juga menanai tanggungjawab penting dalam mempromosikan undang-undang kemanusiaan antarabangsa (IHL) dan prinsip kemanusiaan sejagat kepada seluruh lapisan masyarakat di dunia ini.

Oleh yang demikian, pelbagai strategi telah diketengahkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai bukan sahaja diadakan dalam kalangan masyarakat di Malaysia, bahkan juga di Negara Brunei Darussalam dan Singapura antaranya sektor kerajaan dan bukan kerajaan; dan juga badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah para akademik dan belia-belia. Antaranya menerusi berbagai-bagai kempen kesedaran seperti seminar, kursus atau bengkel dan pertandingan yang berkaitan dengan IHL.

Belia adalah masa depan kita

Sehubungan dengan itu, demi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai ICRC dan IHL dalam kalangan masyarakat di negara ini, ICRC Kuala Lumpur dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Kursus IHL bertempat di auditorium UNISSA pada bulan Julai lalu.

Kursus yang disertai oleh 100 orang peserta yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan, wakil badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para mahasiswa dan mahasiswi dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang itu telah dimuatkan dengan sesi pembentangan dan perbincangan bersama para pakar serta pelbagai latihan teori simulasi.

Dalam pada itu, diikuti pula Pertandingan The Regional IHL Role Play and Moot Court anjuran ICRC Kuala Lumpur dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mana telah disertai oleh antaranya tiga orang wakil belia negara selaku mahasiswa dari Fakulti Syariah dan Undang-undang dari UNISSA di UKM pada bulan November lalu bersama peserta-peserta dari enam buah negara iaitu Singapura, Indonesia, China, Jepun dan Malaysia.

Dengan adanya kempen kesedaran sebegini dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan belia, Shaun turut menyatakan ia sememangnya bukan sahaja mampu meningkatkan pengetahuan undang-undang mereka bahkan juga mengasah kemahiran dan pengalaman peribadi mereka sebagai langkah terbaik yang perlu dilaksanakan apabila menempuhi konflik kemanusiaan dan ancaman bencana sama ada dalam negara mahu pun dunia amnya.

“Belia adalah masa depan setiap negara! Betapa pentingnya kesedaran mereka dalam mengetahui bahawa isu kemanusiaan seperti peperangan dan pelbagai ancaman memiliki had-had tertentu. Oleh itu, dengan adanya kesedaran masyarakat mengenai IHL ini diharap ia akan membuka minda pelbagai pihak untuk sentiasa berusaha membantu mencegah dan sekali gus mengurangi isu konflik kemanusiaan dan juga meningkatakan tahap keselamatan dari masa ke semasa, di samping, mengetahui akan peranan dan tanggungjawab ICRC sebagai salah sebuah organisasi kemanusiaan dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang menghadapi ancaman di seluruh dunia amnya dengan sewajarnya menerusi IHL,” ucapnya dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.